PETALING JAYA: Pakatan Harapan belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima beberapa bekas Ahli Umno yang telah menyuarakan hasrat untuk menyertai gabungan itu, kata Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin Umno tidak lama lagi sebagai menghormati parti itu yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kami maklum beberapa bekas ahli Umno telah menyuarakan hasrat mereka untuk menyertai kami tetapi kami akan membincangkannya dengan pemimpin Umno,” katanya kepada satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini hari ini.

Pada 27 Jan lepas, Umno memecat 44 ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di atas pelbagai kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas.

Dalam isu lain, Anwar yang juga Perdana Menteri memberi jaminan bahawa anaknya Nurul Izzah tidak akan menyalahgunakan kedudukan sebagai penasihat kanan beliau dalam ekonomi dan kewangan dan menekankan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak mengambil sebarang elaun untuk tugasnya.

“Tiada kemungkinan beliau menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan dan mempengaruhi keputusan tender, kontrak atau projek.

“Ya, saya memerlukan kepakaran beliau untuk membantu saya tetapi biar saya tekankan beliau berada di sana untuk melindungi dan menjalankan agenda tadbir urus yang baik dan bebas daripada rasuah.

Maka, saya berpendirian tegas ke atas mereka yang mengkritik pelantikan itu, terutamanya mereka yang menganugerahkan kontrak bernilai berbilion atau ratusan juta ringgit kepada anak lelaki atau menantu lelaki atau kroni mereka ketika berkuasa,” kata beliau.

Beberapa pihak telah mengkritik Anwar berhubung pelantikan itu tetapi beliau mempertahankannya dan berkata anak perempuannya itu layak untuk menggalas tugas berkenaan kerana Nurul Izzah mempunyai ijazah di dalam bidang kejuruteraan serta dasar awam dan sosial.

Anwar berkata beliau menghormati pandangan rakyat yang menyuarakan kebimbangan mereka bahawa Nurul Izzah mungkin menggunakan kedudukan itu untuk kepentingan peribadi dan keluarga.

“Saya jamin perkara itu tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image