SEARCH

Pihak berkuasa siasat kapal tunda Iran masuk perairan negara tanpa kebenaran

20 Dec 2020 / 14:59 H.

BUTTERWORTH: Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung sebuah kapal tunda dari Iran dengan tiga anak kapal dari negara sama masuk ke perairan negara dan berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) tanpa kebenaran, dalam kejadian 11 Dis lepas.

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara telah ke NBCT untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“SPPP setelah menerima maklumat berhubung perkara itu telah mengarahkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) supaya membuat kawalan keselamatan ke atas kapal tunda berkenaan dan menghubungi pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat awal diterima PPSB, bot tunda berdaftar di Tanzania atas nama ‘FIRE MAN’ yang masuk dan merapat di Dermaga N1 NBCT itu bertujuan untuk mendapatkan bantuan kecemasan kerana dua kru botnya sakit,“ menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan juga mendapati kapal tunda berkenaan yang tidak melantik sebarang ejen di Malaysia itu dipercayai telah memulakan perjalanan dari Jepun untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berikutan ketiadaan ejen, bot tersebut telah gagal melaporkan kemasukan mereka di kawasan Had Pelabuhan Pulau Pinang kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dan SPPP.

Menurut kenyataan itu bagaimanapun, Port Health PPSB dan Pasukan Polis Marin telah ke lokasi kapal itu dan melakukan pemeriksaan ke atas dua kru yang sakit tersebut sebelum mereka dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi mendapatkan rawatan.

Seorang kru telah dibenarkan keluar pada hari yang sama (11 Dis) manakala seorang lagi ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan lanjut sehingga 15 Dis.

Memandangkan perintah Notis Penolakan Masuk (NTL) telah dikeluarkan kepada ketiga-tiga kru berkenaan oleh JIM, mereka ditempatkan di atas kapal tunda tersebut dengan kawalan keselamatan dilakukan oleh pihak PPSB dan telah dipindahkan ke Dermaga Perai dari NBCT bagi mematuhi Kod Keselamatan Kemudahan Kapal dan Pelabuhan Antarabangsa (Kod ISPS) setelah mendapat arahan daripada Jabatan Laut Malaysia pada Jumaat lepas.

“Sehingga kini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai perkara itu dan memandangkan kapal FIRE MAN ini adalah kapal tunda dan bukannya kapal kargo, maka ia tidak tertakluk kepada Kod ISPS yang mana, peraturan ini tidak terpakai.

“Bagi kapal yang tertakluk kepada ISPS, kapal-kapal tersebut perlu melaporkan kepada SPPP ke Had Pelabuhan Pulau Pinang sekurang-kurangnya dalam tempoh 48 jam sebelum ketibaan,“ katanya.

Menurut kenyataan itu lagi kapal dan bot yang tidak tertakluk kepada ISPS Code masih boleh memasuki Had Pelabuhan Pulau Pinang namun kapten atau ejen perlu segera melaporkan ketibaan mereka kepada Pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara, JIM dan Port Health.

“Amalan ini adalah sepertimana diamalkan bagi kapal layar khususnya di marina persendirian di Straits Quay. SPPP tidak bertanggungjawab untuk mengesan atau memantau pergerakan sesuatu kapal mahupun bot di luar Had Pelabuhan Pulau Pinang,“ katanya.

Semalam Bernama melaporkan sebuah kapal tunda dari Iran dengan tiga anak kapal dari negara sama disahkan masuk ke perairan negeri ini selepas seorang daripada anak kapal mengalami masalah kesihatan dan dihantar ke HSJ.

Masalah kapal MV Fire Man Zanzibar bermula dalam perjalanan dari Filipina ke Dubai setelah kehabisan minyak, sebelum ia itu ditunda oleh sebuah lagi kapal yang mengalami kerosakan dan bersauh di perairan Johor pada 11 Dis.

Pihak berkuasa negara mengetahui akan keberadaan kapal itu di perairan negara serta memantau dan cuba memberi bantuan. -Bernama

email blast