BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand pada Selasa mengumumkan pilihan raya umum akan datang boleh diadakan pada 7 Mei 2023, jika Dewan Rakyat melengkapkan tempoh penuh penggal empat tahun yang tamat pada Mac tahun depan.

SPR Thailand dalam satu kenyataan berkata calon pada pilihan raya umum akan datang boleh memulakan kempen mereka mulai 24 Sept, iaitu 180 hari sebelum penggal kerajaan berakhir, menurut Perlembagaan.

Di bawah Seksyen 102 Perlembagaan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 45 hari selepas tamat penggal Dewan pada 23 Mac.

Pendaftaran pencalonan dijangka diadakan dari 3 hingga 7 April dan senarai calon akan diumumkan pada 14 April.

SPR Thailand dijangka merangka peraturan dan garis panduan untuk pilihan raya umum akan datang.

Sekiranya Dewan dibubarkan sebelum 23 Mac, sebelum penggal penuh tamat, SPR akan mengadakan pilihan raya umum sekurang-kurangnya 45 hari selepas pembubaran dan tidak lebih daripada 60 hari selepas pembubaran, mengikut Seksyen 103 Perlembagaan.

Badan pilihan raya Thailand itu perlu mengumumkan tarikh pilihan raya dalam tempoh lima hari selepas pembubaran dewan. - Bernama