BANGI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yakin penjualan projek pangsapuri Intana Ria 3 di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi di sini akan habis sebelum suku keempat 2023.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS, Md Kamarzaman Md Rais berkata projek dengan nilai pembangunan kasar (NPK) berjumlah RM78 juta tersebut telah mula dibina dan dijangka siap pada 2025.

“Penjualan kesemua 200 unit pangsapuri mampu milik yang dibina di kawasan seluas 1.14 hektar ini tidak terhad kepada warga Selangor sahaja malah terbuka kepada semua pembeli.

“Lokasi projek ini juga strategik iaitu dekat dengan Bangi, Kajang dan Putrajaya. Kami telah menerima 10 tempahan awal hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pangsapuri Intana Ria 3 di sini, pada Sabtu.

Intana Ria 3 merupakan fasa akhir projek kediaman Intana Ria yang dibina oleh PKNS sejak 1998 di Bandar Baru Bangi.

Berdasarkan harga seunit bermula daripada RM399,000 hingga RM423,000 dengan keluasan 906.86 kaki persegi, Intana Ria 3 dilengkapi dengan kemudahan kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan taman permainan kanak-kanak.

Ia juga berdekatan dengan rangkaian kejiranan dan kemudahan seperti sekolah, masjid dan pusat perubatan malah peluang pekerjaan juga terbuka luas menerusi kawasan perindustrian di sekitar Bangi.

Mengulas mengenai projek PKNS yang lain, Md Kamarzaman berkata pihaknya mempunyai 12 lagi projek perumahan yang akan dilancarkan di Selangor dalam masa terdekat dengan NPK hampir RM1 bilion.

“Kita ada projek di Shah Alam, Kota Puteri, Antara Gapi dan Selangor Cybervalley. Jenis rumah terdiri daripada yang bertanah, rumah bandar, dan juga jenis pangsapuri,” katanya.

NPK merujuk kepada angka yang merangkumi segala kos yang diperlukan untuk membangunkan sesuatu projek. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image