SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi program serahan Bekal Ramadan Kasih PKNS menyumbangkan 50 bakul makanan kepada asnaf-asnaf yang berdaftar di bawah Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim (Bonda) di Ibu Pejabat PKNS, di sini hari ini.

Upacara serahan bakul makanan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak kepada penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua dan golongan tidak berkemampuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Idris berkata program aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS dengan peruntukan berjumlah RM10,000 dilaksanakan bagi memberi peluang kepada PKNS untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan selain menjadi satu daripada usaha pihaknya menyumbang kepada masyarakat terutama pada bulan Ramadan.

“Ia juga menjadi platform terbaik untuk PKNS mendekati komuniti terutamanya di sekitar Selangor mahupun Kuala Lumpur.

“Dengan sumbangan bekal makanan hari ini diharap ia dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan ini dan memberi sedikit keceriaan kepada mereka,“ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Penerima pada hari ini mendapat sumbangan bakul makanan bernilai RM150 yang mengandungi pelbagai makanan keperluan harian antaranya beras, gula, minyak masak, rempah masakan dan biskut.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan serahan Bekal Ramadan Kasih PKNS tersebut adalah satu daripada enam siri aktiviti CSR di bawah program Ramadan Kasih PKNS yang dirangka sempena bulan Ramadan tahun ini.

Beliau berkata tiga lagi siri aktiviti yang bakal diadakan ialah agihan bubur lambuk pada 30 Mac diikuti pembelian baju raya anak-anak Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Rawang melibatkan 40 anak yatim di Kompleks PKNS Shah Alam pada 2 April dan majlis berbuka puasa bersama PKNS pada 7 April untuk meraikan anak-anak yatim tersebut.

“Di bawah inisiatif Ramadan Kasih PKNS ini juga kami sebelum ini melaksanakan dua siri program iaitu Gotong-royong Ramadan Kasih PKNS di PEKEAS, Rawang serta Raga Ramadan Kasih PKNS iaitu program sumbangan kepada gelandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image