SEARCH

PKPB: 15 taska awam di P. Pinang dibenar beroperasi mulai 1 Jun

22 May 2020 / 16:01 H.

GEORGE TOWN: Sebanyak 15 taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja awam di negeri ini dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata pengusaha taska perlu memastikan kapasiti taska adalah 50 peratus sahaja daripada keseluruhan kanak-kanak mengikut pengiraan ruang lantai dan penjarakan sosial dalam ruang aktiviti yang perlu diamalkan.

“Kesemua 15 buah taska ini dikehendaki mengesahkan serta memberi keyakinan bahawa pihak pengusaha dapat mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), garis panduan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“SOP dan garis panduan tersebut telah menjelaskan perkara yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas taska beroperasi oleh pihak pengusaha, kakitangan dan pihak ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke taska dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Antara SOP yang ditetapkan termasuk meletakkan label tanda jarak satu meter di lantai khususnya di ruang penyusuan/makan, tempat tidur dan ruang membasuh tangan; langkah pembersihan dan disinfeksi (nyahkuman) dilaksanakan secara menyeluruh di taska; penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman; membuat saringan gejala serta pemeriksaan suhu semasa ketibaan kakitangan dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Phee berkata kerajaan negeri juga telah bertemu dengan Persatuan Taska Pulau Pinang untuk berbincang berkenaan keyakinan serta kesiapsiagaan dengan pematuhan SOP dan garis panduan oleh taska swasta yang berdaftar dengan JKM di bawah persatuan tersebut.

“Pihak persatuan turut merayu dan berharap taska swasta juga dapat dipertimbangkan untuk memulakan operasi dengan keyakinan mematuhi semua SOP dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – Bernama

email blast