SEARCH

PKPB: Sekatan jalan raya terkawal, pengguna patuhi SOP - polis

14 Oct 2020 / 19:10 H.

KUALA LUMPUR: Hari pertama pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang bermula tengah malam tadi berjalan lancar malah pengguna dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin memberitahu Bernama rata-rata pengguna jalan raya mematuhi peraturan SJR dan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas sejak pagi tadi.

Tinjauan Bernama sejak tengah malam tadi mendapati walaupun terdapat SJR di Jalan Loke Yew, Jalan Pahang dan Jalan Syed Putra di sini, aliran trafik masih lancar dengan jumlah kenderaan sedikit berkurangan.

Semalam, Bernama melaporkan sebanyak 29 SJR dilaksanakan di sekitar ibu negara dan Putrajaya susulan penguatkuasaan PKPB bermula pada 12.01 tengah malam.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya mengadakan sebanyak 64 SJR yang melibatkan kekuatan 1,600 pegawai dan anggota polis.

“Saya meminta orang ramai agar bersabar dengan SJR yang dibuat di seluruh Selangor kerana berlaku kesesakan lalu lintas sejak pagi tadi ketika mereka hendak keluar bekerja.

“Perkara ini tidak dapat disangkal dan polis terpaksa membuat pemeriksaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati aliran trafik di Jalan Gombak menghala ke Rawang berjalan lancar dengan pembukaan laluan khas bagi kenderaan melibatkan perkhidmatan penting meskipun SJR diadakan di kawasan tersebut.

Di SHAH ALAM, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya akan melakukan pemeriksaan lebih ketat dalam SJR selepas 10 malam di daerah itu susulan penguatkuasaan PKPB.

Ia berikutan kebanyakan sektor ekonomi tidak lagi beroperasi pada waktu berkenaan selain bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pada waktu siang, kita percaya pengguna jalan raya akan keluar untuk bekerja. Disebabkan itu, kita akan lebih tegas pada waktu malam apabila kebanyakan sektor ekonomi sudah tamat operasi.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP, mereka akan dikompaun serta-merta,” katanya pada sidang media penugasan SJR Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Baharudin berkata sebanyak empat SJR dilakukan di bawah pentadbiran IPD itu iaitu Persiaran Kayangan di Seksyen 7, Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 26 serta Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam yang merupakan laluan masuk utama ke daerah itu.

“Beberapa SJR bergerak akan dilaksanakan di beberapa lokasi mengikut keperluan semasa yang mana ia akan dijalankan selama dua jam di setiap lokasi,“ katanya.

Beliau berkata seramai 250 pegawai serta anggota termasuk 36 daripada Angkatan Tentera Malaysia ditugaskan di SJR terlibat selain pihaknya akan terus memperhebat hebahan kesedaran kepada orang awam supaya mematuhi SOP PKPB menerusi unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB).

PKPB yang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Okt adalah susulan peningkatan kes COVID-19. — Bernama

email blast