SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengaktifkan semula inisiatif taska tambahan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas barisan hadapan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari sejak Rabu lepas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan bebanan petugas barisan hadapan yang perlu bekerja keras untuk melandaikan lekuk pandemik Covid-19.

“Taska tambahan ini diaktifkan semula di enam hospital kerajaan iaitu dua taska di Hospital Sungai Buloh serta masing-masing satu taska di Hospital Shah Alam, Banting, Selayang, Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Selain itu, satu taska tambahan juga dibuka di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta masing-masing satu taska di pejabat kerajaan iaitu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Bangunan Darul Ehsan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata kesemua taska tambahan di hospital itu dibuka bagi dimanfaatkan kakitangan perubatan manakala petugas barisan hadapan yang lain termasuk polis dan tentera boleh menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan di pejabat kerajaan.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan negeri bersedia untuk menambah jumlah taska tambahan itu sekiranya ada banyak permintaan daripada petugas barisan hadapan dan pekerja perkhidmatan perlu.

“Disebabkan penguatkuasaan PKPB banyak taska ditutup operasinya, kita sedia membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan supaya mereka dapat bekerja dengan lancar.

“Buat masa ini, taska tambahan akan beroperasi selama tempoh PKPB iaitu sehingga 27 Okt namun jika ia dilanjutkan, taska tambahan juga kita akan teruskan mengikut tarikh baharu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi taska di pejabat JKNS di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata segala kos operasi taska tambahan itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri seperti semasa penguatkuasaan PKP pada Mac lepas menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 di Selangor, Dr Siti Mariah berkata kerajaan negeri sedang menjalankan ujian saringan secara bersasar bagi membantu usaha Kementerian Kesihatan melandaikan lekuk jangkitan wabak berkenaan.

“Sekarang ini kita sedang lakukan ujian saringan di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang susulan ada kes positif di situ. Disebabkan ada pula kes melibatkan pengawal keselamatan dan pekerja awam, selepas ini kita akan buat ujian saringan kepada golongan berkenaan.

“Mana-mana individu yang gusar dengan kesihatan diri ekoran pernah menjadi kontak lapisan ketiga atau keempat dengan pesakit positif Covid-19, mereka boleh hadir ke Klinik Selcare, milik kerajaan negeri untuk menjalani ujian saringan,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image