IPOH: Pengguna jalan raya yang menggunakan Terowong Meru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan penutupan lorong kiri di terowong terbabit di Kilometer (KM) 260.30 hingga KM262.05 arah selatan bermula 7 Feb ini.

PLUS dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 7 Feb sehingga 16 Feb antara 9 malam sehingga 12 tengah hari setiap hari sepanjang tempoh tersebut.

“Sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

“Justeru, pengguna yang menghala ke selatan menghala ke Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini,“ menurut kenyataan itu.

Pengguna jalan raya juga diminta supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

“Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image