KUALA LUMPUR: Berdasarkan interaksi diplomatik dan hubungan peribadi yang telah lama terjalin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau melihat kewujudan kerjasama rapat dengan Presiden Filipina Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr, bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Filipina.

Dalam tweetnya bagi menyampaikan ucapan terima kasih kepada Marcos kerana membuat panggilan telefon dan ucap selamat kepadanya, Anwar berkata Malaysia dan Filipina sentiasa memiliki kerjasama yang kukuh dalam forum dua hala, serantau dan pelbagai hala.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, semalam.

Marcos menerusi twitter telah menyampaikan ucapan tahniah secara peribadi dan rasmi kepada Anwar atas pelantikannya sebagai perdana menteri.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan baik saya @anwaribrahim atas pemilihan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya mengharapkan kepimpinan beliau akan membawa kestabilan kepada Malaysia dan rantau ini,” katanya. - Bernama