KUALA LUMPUR: Tumpuan pengamal media sekali lagi terarah di Pintu Utama Istana Negara petang ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempersembahkan senarai timbalan menteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengamal media mula berkumpul pada 2.30 petang selepas Anwar dilaporkan menghadap Seri Paduka petang ini.

Kenderaan membawa Perdana Menteri tiba di perkarangan Istana Negara sebelum masuk melalui Pintu Utama Istana Negara pada 4.07 petang.

Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong lebih sejam selepas dilihat memasuki Istana Negara dan kenderaan membawa Perdana Menteri ke-10 itu dilihat keluar dari Pintu Utama Istana Negara pada 5.25 petang.

Beliau sempat melambai kepada pengamal media yang menunggu di hadapan pintu utama seawal 2.30 petang.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata senarai nama timbalan menteri yang bakal dilantik menyertai pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau akan diumumkan pada 8.15 malam ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image