SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, sekiranya Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti bebas untuk membuat keputusan sendiri, namun mereka perlu menanggung kesan daripada keputusan itu termasuk tidak menyokong kerajaan.

“Saya pun dengar berita macam itu (PN tarik sokongan)...namun laporan mengenai PN itu tidak dikeluarkan secara rasmi oleh parti berkaitan cuma “mungkin satu dua orang sahaja yang mengeluarkan kenyataan,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa PN bercadang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN yang diketuai Bersatu dibatalkan pada saat akhir.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Parti Islam Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ismail Sabri berkata sekiranya kerajaan sekarang tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan dan kerajaan sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

“Kalau bersedia untuk menghadapi pilihan raya, kita akan adakan pilihan raya. Kalau masih lagi kerajaan ini kekal, maka akan pertimbangkan dari segi tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian,“ katanya.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman dilaporkan menafikan laporan yang mendakwa PN akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri kerana isu tuntutan jawatan timbalan perdana menteri, serta menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image