SEARCH

PM mahu isu kelewatan bayaran elaun bulanan khas barisan hadapan diurus secepat mungkin

22 May 2020 / 15:25 H.

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya isu tuntutan elaun bulanan khas petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dipermudahkan dan diuruskan secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri telah memberikan arahan berkenaan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Saya nak maklum tadi, (semalam) kita ada bincang dalam mesyuarat itu, ada sedikit masalah di setengah-setengah dalam kalangan yang terlibat itu (yang) katanya bayaran kepada tuntutan frontliners (petugas barisan hadapan) ini agak lambat sikit ataupun terpaksa lalui banyak kertas-kertas (borang).

“Saya minta dan arahkan supaya ini dipermudahkan kerana yang terlibat ini ialah frontliners yang telah berkorban banyak masa dan tenaga. Sepatutnya layanan yang kita harus bagi juga haruslah yang adil dan diuruskan dalam keadaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang video kira-kira 30 minit bersama wakil barisan hadapan negara yang terlibat dalam menangani Covid-19.

Sidang video itu disertai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Muhyiddin ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 untuk petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, APM dan Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun itu akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Sementara itu, dalam sidang video berkenaan, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab turut mengucapkan penghargaan atas keputusan kerajaan memberi kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam kepada anggota sukarelanya yang diumumkan semalam.

Mengulas mengenainya, Muhyiddin berkata apa jua soal barisan hadapan diletakkan sebagai keutamaan dan kerajaan akan berikan bantuan selagi mampu. – Bernama

email blast