KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu seluruh gerakan koperasi melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan semula “Jihad Memerangi Orang Tengah” dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Ismail Sabri berkata beliau melihat koperasi boleh memainkan peranan dalam agenda tersebut kerana mempunyai ahli yang ramai, selain penglibatan mereka dalam pelbagai bidang termasuk peruncitan, pemborongan dan sebagainya.

Menurutnya langkah memperkasakan semula jihad itu perlu dilakukan kerana harga dan bekalan ketika ini kebanyakannya ditentukan oleh orang tengah.

“Justeru, sudah tiba masanya seluruh gerakan koperasi melalui Angkasa untuk memulakan semula gerakan yang telahpun saya perkenalkan, perjuangkan sewaktu saya jadi Menteri Pertanian (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) iaitu ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’.

Harap perkara ini dapat disambung semula dan Angkasa boleh memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image