Polis berjaya tahan pelancong China yang enggan dikuarantin

JOHOR BARU: Kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) dan dilarikan oleh ibu bapanya dari sebuah hospital awam, di sini kerana enggan dikuarantin, berjaya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat Kulai, malam tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarudin Md Din berkata kanak-kanak itu ditahan bersama ibu bapanya semasa hendak berlepas pulang ke China pada kira-kira 9.20 malam tadi sebelum dirujuk semula ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Betul, malam tadi sudah ditahan dan lain-lain maklumat akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor,“ katanya yang dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis Johor mengesahkan menerima laporan tentang seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang disyaki mempunyai simptom Koronavirus, dilarikan oleh ibu bapanya dari sebuah hospital awam di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd Afzanizam Yahaya berkata laporan diterima pihaknya pada 4.20 pagi Sabtu.

Semalam tular di laman sosial Facebook, sekeping gambar laporan polis dibuat seorang doktor berusia 26 tahun mengenai seorang kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang dibawa keluar daripada sebuah hospital awam, di sini oleh ibu bapanya.

Menerusi laporan polis yang tular itu, kanak-kanak itu dikatakan mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk serta dinasihat untuk dikuarantin.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat empat kes disahkan positif Koronavirus. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image