KOTA BHARU: Suspek lelaki yang melarikan diri dalam kejadian samun kenderaan sebelum kereta yang dinaiki tiga rakannya terbakar dalam kejadian di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di Tumpat 3 Feb lepas, berjaya ditahan polis petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kampung Dusun, di sini pada pukul 4.30 petang.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafien berkata ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif.

“Hasil semakan polis didapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkait kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan merupakan orang yang dikehendaki berkait kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki dipercayai suspek kes samun, maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan Honda HRV yang dinaiki mereka merempuh tiang batu sebelum terbakar berdekatan Kampung Morak, Tumpat.

Suspek keempat yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan dikejar pemilik kenderaan itu bagaimanapun meneruskan pemanduan sehingga terbabas di Kubang Kerian dan berjaya melarikan diri. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image