KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan cedera dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini hari ini.

Bayi itu cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam pada kedua-dua belah matanya kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP D. Saralathan.

Sehubungan itu, polis kini mengesan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

“Lelaki terbabit melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati punca bayi itu dipukul adalah kerana membuat bising dan ibu bayi berkenaan dikatakan cuba menghalang teman lelakinya itu tetapi tidak berdaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Semalam, tular kejadian seorang lelaki mendera bayi perempuan berusia 11 bulan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image