KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia sedang menjejaki seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes penyiaran artikel mengandungi kenyataan berunsur fitnah serta penghinaan terhadap institusi Diraja Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata lelaki yang dikenali sebagai Hussein Abd Hamid, 75, dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt. Junainah M. Kasbolah atau Pegawai Penyiasat Insp. M. Jagachandran di talian 03-22666071,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. — Bernama