GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menjangkakan penambahan lebih 50,000 kenderaan masuk ke negeri itu setiap hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 1 Feb ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penambahan itu bukan sahaja melibatkan masyarakat Cina yang pulang untuk menyambut perayaan bersama keluarga, malah turut membabitkan pelancong berikutan cuti panjang.

Pihaknya turut menjangkakan berlaku kesesakan di beberapa lokasi di negeri ini terutama di pusat bandar dan polis akan meningkatkan pemantauan serta pemeriksaan berkala di kawasan tersebut.

“Tujuh jalan yang akan berlaku kepadatan dan juga hotspot kemalangan di Pulau Pinang yang dikenal pasti itu ialah Jalan Teluk Air Tawar - Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara), Jalan Perusahaan Perai - Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah), Jalan Besar Simpang Empat (KM12-KM32), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/ Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam - Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr Awang,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di pasar Jalan Perak di sini hari ini.

Beliau turut melancarkan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga 6 Feb ini.

Katanya, seramai 110 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang terlibat dalam operasi tersebut dan JSPT turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah.

“Jumlah keseluruhan anggota dan pegawai polis di Pulau Pinang adalah 6,000 lebih, semua bertugas seperti biasa dan kita tidak bekukan cuti cuma hadkan sahaja,“ katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image