Polis kesan dua lelaki hilang

NIBONG TEBAL: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Simpang Ampat, di sini pada November dan Julai lepas dan sehingga hari ini masih gagal ditemui.

Menurut kenyataan polis, lelaki pertama Azli Majid, 42, bekerja sambilan di sebuah kelab golf dekat Bukit Gantung, George Town dekat sini dilaporkan hilang pada 18 Nov tahun lalu selepas dia keluar menaiki sebuah motosikal jenis Yahama Ego warna ungu gelap dan nombor pendaftaran kenderaan PNX940.

“Berdasarkan maklumat daripada ibu lelaki itu, anaknya merupakan seorang pesakit mental dan telah keluar rumah dengan membawa beg pakaian tanpa memaklumkan destinasi. Keluarga mangsa cuba mencari serta menghubungi telefonnya namun sehingga hari ini gagal mengesan lelaki berkenaan,“ katanya semalam.

Katanya manakala lelaki kedua yang dilaporkan hilang ialah Shalee Noi, 46, sejak 2 Julai lalu selepas memberitahu isterinya dia telah pergi ke sebuah wat siam di kawasan sini untuk menenangkan fikiran dan meninggalkan kereta mereka berhampiran sebuah balai polis.

Isteri lelaki itu telah cuba menghubunginya sejak dia keluar daripada rumah namun gagal mengesannya sebelum bertindak membuat laporan polis kerana bimbang sesuatu terjadi kepada suaminya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua lelaki yang dilaporkan hilang itu boleh menghubungi Sarjan Rosdhi Mohd Sali di talian 04-5887300 atau 012-5764190. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image