SEARCH

Polis Melaka selesaikan kes bunuh dalam tempoh 24 jam

14 Jan 2021 / 17:45 H.

MELAKA: Polis Melaka berjaya menyelesaikan satu kes bunuh yang dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati membabitkan empat suspek penjenayah, dalam tempoh 24 jam dengan penahanan tiga lelaki minggu lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata tangkapan itu dibuat susulan penemuan satu mayat lelaki di dalam sebuah kereta berhampiran Rumah Pangsa Batu Berendam pada 7 Jan lalu.

“Suspek pertama berusia 39 tahun ditahan kira-kira 10 malam pada hari sama mayat ditemukan di negeri ini. Soal siasat terhadap suspek membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki berusia 34 dan 42 tahun di Ipoh, Perak pada 9 malam, Isnin lepas (11 Jan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata isteri mangsa membuat laporan polis pada 6 Jan berhubung suaminya yang berusia 38 tahun tidak pulang ke rumah, sebelum mayat lelaki itu ditemukan di dalam keretanya dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman pada perut dan leher di kawasan flat tersebut.

“Pemeriksaan di sekitar premis menemukan kesan darah yang membawa kepada sebuah unit disewa seorang daripada suspek dan mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan,” katanya.

Abdul Majid berkata siasatan awal ke atas suspek mendapati motif pembunuhan disebabkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka selepas melakukan samun ke atas sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana di sini pada 4 Jan lepas.

“Mangsa dan tiga suspek itu merupakan rakan sepenjenayah dan dipercayai aktif dalam kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam di negeri ini sejak dua bulan lalu.

“Semakan turut mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan saringan air kencing mereka positif methamphetamine,” katanya.

Abdul Majid berkata kesemua mereka direman tujuh hari hingga 18 Jan ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami percaya dengan tertangkapnya suspek pertama Polis Kontinjen Melaka berjaya menyelsaikan kes bunuh tersebut dalam tempoh 24 jam,” katanya. -Bernama

email blast