IPOH: Polis meminta saksi kejadian kemalangan maut membabitkan seorang pelajar sekolah yang menunggang motosikal di Jalan Kuala Kangsar di sini semalam supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata mangsa, Aris Iskandar Ramli, 17, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kira-kira 12.30 tengah hari tadi selepas menerima rawatan akibat kemalangan itu yang berlaku semalam.

Beliau berkata seorang lagi pembonceng motosikal itu yang berusia 17 tahun hanya mengalami luka pada kaki, tangan dan bahu.

“Polis menerima maklumat pada 1.15 tengah hari semalam daripada orang awam membabitkan sebuah motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja itu terbabas di laluan berkenaan.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kedua-dua remaja itu yang dalam perjalanan pulang dari sekolah untuk ke rumah masing-masing telah bergesel dengan sebuah lori yang berada di lorong kiri menyebabkan Aris Iskandar hilang kawalan dan terjatuh di tepi jalan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata pihaknya turut mengenal pasti rakaman litar tertutup di lokasi kejadian serta mengesan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image