SHAH ALAM: Peniaga dinasihatkan sentiasa peka dan dielakkan membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai terutamanya pada musim perayaan, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim.

Mohd Iqbal berkata ia berikutan kekecohan yang berlaku di sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, di sini yang diserbu orang ramai berikutan kesilapan maklumat kononnya kedai tersebut menjual pakaian serendah RM1, semalam.

Katanya orang ramai turut dinasihatkan agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat ketika musim perayaan ini.

Terdahulu, Mohd Iqbal memaklumkan pihaknya menerima aduan pada 10.30 pagi berikutan kekecohan yang berlaku pada permulaan waktu operasi kedai itu yang membuat promosi 100 pelanggan terawal dapat membeli pakaian dengan harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

“Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan.

“Sekitar 11.45 pagi atas faktor keselamatan, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Iqbal berkata setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak bersabit kejadian berkenaan dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Terdahulu tular di media sosial beberapa rakaman video orang ramai berkumpul dan beratur panjang di sebuah kedai pakaian sehingga berlaku insiden tolak menolak serta kekecohan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image