IPOH: Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM35,000 dalam ‘Op Tapis Khas’ yang menyaksikan 11 ‘syurga’ penagih dadah diserbu dalam operasi tiga hari itu, di seluruh negeri.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar) berkata operasi yang dimulakan Isnin lepas itu berjaya menahan 530 individu terdiri daripada 517 warganegara dan 13 bukan warganegara berusia lingkungan 17 hingga 67 tahun.

“Daripada jumlah itu seramai 522 orang lelaki dan lapan perempuan telah ditahan dalam 11 lokasi serbuan aktiviti penagihan dadah.

“Seramai 50 orang telah ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 178 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 302 penagih telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya turut menahan 12 individu yang dikategorikan sebagai ‘orang yang dikehendaki’ manakala sembilan lagi penagih tegar yang diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Selain itu, sebuah kereta dan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM12,518 turut dirampas, katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image