KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki bersama 252,000 biji pil yaba bernilai RM2.52 juta dalam serbuan di Kota Bharu dan Bachok, Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, di sini, kira-kira pukul 3 petang, yang membawa penahanan terhadap tiga lelaki warga tempatan berusia antara 27 hingga 33 tahun.

“Ketika kejadian anggota bertugas mendekati dua suspek yang menaiki kereta jenis Honda Jazz, yang ketika itu sedang berurusan dengan lelaki lain berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Icon.

“Pemeriksaan pada kenderaan menemui satu kotak berisi 14 bungkusan plastik, yang mana di dalamnya mengandungi pil kemerahan sejumlah 84,000 biji pil yaba pada bungkusan terbabit yang dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan kedua di rumah salah seorang suspek di Kampung Takang, dekat Tawang di Bachok, dan 168,000 lagi pil yaba bernilai RM1.68 juta ditemukan.

“Semua pil kuda berkenaan ditemukan dalam kotak yang diletakkan di atas kabinet dapur rumah.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methampethamine. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image