SHAH ALAM: Polis sedang mengesan empat lelaki disyaki warga tempatan yang bertindak memukul seorang individu dipercayai gelandangan di kawasan bawah jambatan sekitar Pelabuhan Klang, dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata ia berikutan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada 12.02 tengah malam tadi yang melihat video berdurasi 24 saat di laman sosial Instagram sehari sebelumnya, memaparkan sekumpulan individu memukul lelaki gelandangan menggunakan pemukul besbol jenis besi.

Susulan itu, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Polis kini sedang berusaha mengesan mangsa bagi mengetahui kejadian sebenar,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image