SHAH ALAM: Polis kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya berhubung insiden pergaduhan yang berlaku pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) antara pasukan Wilayah Persekutuan menentang Pulau Pinang di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata laporan polis dari mereka yang terlibat telah diterima dan beberapa individu dipanggil bagi dirakam keterangan antaranya barisan kejurulatihan, pengadil dan petugas perlawanan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden pergaduhan tersebut berlaku selepas seorang pemain dilayangkan kad merah menyebabkan seorang individu dipercayai pegawai satu daripada pasukan bertanding tidak berpuas hati sebelum terjadinya kekecohan.

“Permainan kemudian dihentikan seketika susulan kekecohan itu namun ia berjaya dikawal sebelum permainan disambung semula,“ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di sini hari ini.

Mohd Iqbal turut menasihati agar mana-mana pihak yang terlibat dalam pertandingan untuk tidak beremosi ketika sesuatu perlawanan supaya tidak tercetus sebarang provokasi dan kekecohan.

Media semalam melaporkan, menuju 90 minit perlawanan antara kedua-dua pasukan itu, aksi bertukar panas dengan pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Iman Fakhrullah Zamri, dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana menyepak pemain lawan sebelum keadaan semakin tegang apabila berlaku tolak menolak antara pemain.

Seorang pegawai Wilayah Persekutuan turut dilayangkan kad merah selepas melakukan provokasi terhadap pengadil yang menyaksikan beliau mengejar pengadil tersebut di tengah padang selepas diperintah keluar.

Mengulas berhubung status terkini kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas, Mohd Iqbal berkata setakat ini belum ada sebarang petunjuk baharu berhubung wanita berkenaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image