Your Title

SHAH ALAM: Polis menahan 10 ahli sindiket judi dalam talian di dua premis di Klang dekat sini menerusi Ops Khas Perjudian bermula Jumaat lepas hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata enam lelaki, tiga wanita serta seorang wanita warga asing, kesemuanya berusia 20-an hingga 40-an itu dipercayai menjalankan aktiviti mempromosi dan menganjurkan judi dalam talian membabitkan transaksi hampir RM5 juta sebulan dengan pemain melebihi 3,000 orang.

“Sindiket dikesan mempunyai pemain dalam kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia. Mereka menggunakan pelbagai akaun bank tempatan dan luar bagi transaksi kewangan perjudian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata pihaknya turut merampas 21 komputer riba, perkakas teknologi maklumat serta wang tunai RM100,000 dalam operasi itu.

Beliau berkata kesemua 10 individu berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1)(a)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menerusi operasi sama turut menahan 13 pemain judi dan lima penjaga premis di sebuah premis di Klang Selatan dan dua premis di Kajang.

Menurutnya, 59 komputer, beberapa perkakas teknologi maklumat serta wang tunai berjumlah RM3,210 dirampas manakala kesemua 18 individu itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Arjunaidi berkata seramai 10,649 individu di Selangor ditahan pada 2020 hingga 2021 berkait kegiatan perjudian dengan 6,432 kertas siasatan dibuka dan 92 peratus kertas siasatan tersebut berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan perjudian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya bagi judi dalam talian, 2,106 kertas siasatan telah dibuka melibatkan tangkapan 5,792 orang manakala 4,326 kertas siasatan berkaitan loteri awam tanpa lesen dibuka dengan 4,857 orang ditahan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image