JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai mabuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini di Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata pada awalnya orang awam memaklumkan terdapat sebuah kereta yang mencurigakan kerana diletakkan di tengah jalan pada pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata anggota peronda polis (MPV) yang membuat pemeriksaan kemudian mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia 30-an sedang tidur di dalam kereta itu.

“Bagaimanapun, seorang daripada lelaki terbabit yang berada di bahagian penumpang belakang telah bertindak keluar dari kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota MPV.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan dan seorang daripadanya didapati tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala seorang daripadanya pernah ditahan membabitkan kes kongsi gelap.

Beliau berkata permohonan reman akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image