KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang didakwa cuba melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari halaman sebuah rumah kampung di Batu 3, Jalan Gambang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan oleh orang awam yang mengejar suspek selepas mendengar jeritan ibu mangsa, sebelum menyerahkannya kepada polis di lokasi kejadian pada 9.45 pagi.

Ibu mangsa mendakwa suspek menghampiri rumahnya semasa dia sedang menyiram pokok bunga, manakala mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik bermain pasir di halaman rumah yang tidak berpagar.

“Suspek dikatakan menutup kepala mangsa dengan kain putih dan hanya sempat melarikannya hingga ke jalan besar sekitar 200 meter dari rumah mangsa sebelum ditahan oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mahukan anak selepas tidak dikurniakan cahaya mata selepas lapan tahun berkahwin,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Suspek dipercayai datang ke Malaysia sejak tiga bulan lepas dan tinggal berhampiran jeti nelayan berhampiran kampung itu serta menyara hidup dengan mengambil upah membantu kerja nelayan.

Wan Mohd Zahari berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image