KUANTAN: Polis memberkas dua buruh binaan ahli ‘Geng Mirul Dog’ yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kedua-dua lelaki tempatan berumur 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Balok, di sini pada 6.30 petang oleh sepasukan polis ketika operasi khas sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan kegiatan terbabit sejak Oktober tahun lepas dengan mengumpil pintu rumah yang tidak berpenghuni pada siang hari.

Katanya, dengan penangkapan itu polis berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan sekali gus menyelesaikan lapan kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di Kampung Pandan, Air Putih, Indera Mahkota dan Beserah melibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM100,000.

“Polis turut merampas kereta jenis Proton Waja, peralatan pecah rumah, telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan barangan perhiasan wanita. Siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada terdapat ahli geng yang masih bebas diteruskan,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini.

Susulan daripada tangkapan itu, Wan Mohd Zahari berkata pihaknya turut menahan seorang warga emas berusia 71 tahun di sini pada Isnin lepas yang berperanan sebagai pembeli barangan perhiasan wanita daripada suspek.

Beliau berkata kedua-dua suspek geng terbabit mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan narkotik dan ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah.

Kedua-dua mereka direman hingga 3 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala warga emas yang dilepaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya mengeluarkan sejumlah 1,115 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Selamat bermula 18 hingga 27 Jan dengan kompaun memandu melebihi had laju mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 226 saman. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image