SEARCH

Pos polis baharu tingkat tahap keselamatan orang awam

30 Jun 2020 / 11:30 H.

JOHOR BAHRU: Penempatan Pos Polis baharu di kawasan premis perniagaan di Tun Razak Susur 4 Jalan Tun Razak di sini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keamanan orang awam di kawasan sekitar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata kehadiran polis di sekitar kawasan premis perniagaan juga akan mengurangkan risiko kes jenayah selain meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap isu keselamatan.

“Kami bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memastikan kawasan di sini selamat untuk didatangi orang awam yang ada urusan dan pemilihan lokasi ini bukan disebabkan ‘kawasan panas’,“ kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mohd Padzli berkata demikian selepas majlis perasmian Pos Polis Jalan Susur 4 yang disempurnakan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay serta Datuk Bandar MBJB Datuk Adib Azhari Daud.

Bangunan Pos Polis berkenaan disediakan MBJB menerusi kerjasama, Program Bandar Selamat yang kos penyelenggaraan, bil elektrik dan air akan ditanggung MBJB. -Bernama

email blast