MIRI: Petugas di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau menjalankan persiapan terakhir bagi memastikan hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan berlangsung esok berjalan lancar.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Piasau, Siti Rohanie Yusof berkata pihaknya mengadakan raptai penuh proses penamaan calon pada 9 pagi tadi untuk memastikan segalanya berjalan lancar esok.

“Saya berharap pada hari penamaan calon esok semuanya berjalan dengan baik tanpa ada sebarang provokasi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdapat 30 petugas SPR di PPC DUN Piasau selain dua wakil daripada Kementerian Kesihatan yang ditugaskan untuk menjaga khemah modular.

Pada PRN Sarawak ke-11, Piasau menyaksikan penyandang daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mewakili Barisan Nasional ketika itu, Datuk Sebastian Ting menang dengan majoriti 2,112 mengalahkan calon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Alan Ling.

SPR menetapkan esok hari penamaan calon manakala pengundian awal pula pada 14 Dis dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Dis. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image