SEARCH

PRK Chini: Pemimpin Bersatu satu pentas ceramah bersama BN dan PAS

28 Jun 2020 / 12:36 H.

PEKAN: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menyaksikan buat pertama kalinya pemimpin Bersatu berada di atas pentas ceramah yang sama dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Kehadiran Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin di pentas ceramah BN ‘Pemimpin bersama Masyarakat’ di Bandar Dara Chini dekat sini malam ini adalah sejajar dengan pemuafakatan Perikatan Nasional (PN) yang telah dibentuk pada Februari lepas.

Malah kehadiran Ahli Parlimen Larut itu di atas pentas bersebelahan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu memberi isyarat jelas bahawa Bersatu memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN Mohd Sharim Md Zain bagi mewakili kerajaan pimpinan PN.

Ketika berucap, Hamzah mengajak rakyat menghayati jasa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam tiga bulan pertama sebagai pemimpin utama negara yang terbukti mampu untuk menyatukan semua pemimpin daripada dalam kalangan parti kerajaan yang ada pada hari ini.

“Dia telah membuktikan bahawa kepimpinan daripada BN bekerjasama dengan kita (Bersatu) seperti Datuk Seri Ismail Sabri yang mampu untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan kita. Begitu juga pemimpin daripada PAS, mereka dapat bekerjasama dengan kita (Bersatu) dan membuktikan bahawa kita mampu untuk memerintah negara ini dengan aman dan sejahtera.

“Tiada lagi masalah yang ditimbulkan tentang isu agama, tidak ada lagi timbul mengenai kuasa Raja-raja dan sudah tentu hari ini rakyat akan mempertahankan segala perjuangan yang adil mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan dan Yang Dipertua PAS Pekan Abu Kassim Manaf.

Justeru itu, Hamzah meminta pengundi di DUN Chini membuat pilihan bijak pada 4 Julai nanti.

“Kita yang akan menentukan nasib anak bangsa, agama dan negara. Inilah perjuangan kita dan kita tunjukkan bahawa perjuangan ini untuk masyarakat, bangsa dan negara,” katanya.

PRK DUN Chini 4 Julai ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim Md Zain, 41, dengan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon atas alasan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengundi, susulan penularan wabak COVID-19.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari BN yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

PRK ini adalah pilihan raya yang pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik COVID-19. - Bernama

email blast