SHAH ALAM: Umno Selangor telah memperhalusi kerusi-kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan akan mengadakan mesyuarat di peringkat Barisan Nasional (BN) untuk dibincangkan secara rasmi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata setelah perbincangan di peringkat BN negeri selesai, pihaknya bersedia untuk duduk berbincang dengan Pakatan Harapan (PH), berkenaan pembahagian kerusi pada PRN itu nanti.

“Apa yang penting di peringkat Umno kita dah selesai...kami sudah bersedia sekarang ini untuk duduk dan berbincang mengenai perkara itu. Terserah kepada PH untuk memikirkan bagaimana memulakan perbincangan secara semangat kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Megat Zulkarnain berkata meskipun Umno dan BN tidak berjaya memenangi sebarang kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, namun parti itu berupaya meraih undi yang banyak terutama di kawasan majoriti Melayu.

“Saya rasa ini mesti ada dalam asas rundingan untuk kita memulakan perbincangan tersebut (dengan PH),” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata beliau akan bertemu kepimpinan Umno Bahagian Tanjong Karang esok, dalam menaikkan semangat bahagian itu untuk berdepan PRN akan datang.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar serta dua ahli Umno bahagian itu, sebelum ini dipecat daripada parti berkenaan atas sebab pelanggaran disiplin parti.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memaklumkan Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno 2023.

Selain itu, Setiausaha Wanita Umno Datuk Rosni Sohar, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Umno Selangor merangkap Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, menyatakan keinginan untuk bertanding bagi jawatan Ahli MT Umno. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image