Program MySTEP dilanjutkan hingga 31 Dis 2023, gaji dinaikkan RM100

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15,000 dalam sektor awam dan 35,000 melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan hingga 31 Dis 2023 manakala gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100.

“Keluarga Malaysia akan terus disediakan dengan peluang mengikuti pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mempersiap diri memenuhi kehendak pasaran kerja,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun depan, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya, Orang Asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja.

Beliau berkata insentif penggajian itu melibatkan antara RM600 hingga RM750 sebulan yang akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan.

“Insentif juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan agensi pekerjaan swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan.

“Di bawah Insentif Penggajian Perkeso ini, sebanyak RM150 juta disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermaustautin manakala RM1,000 melibatkan penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau berkata HRD Corp juga akan menyediakan sejumlah RM750 juta untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.

“Sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) melibatkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal.

“Selain itu, RM20 juta turut disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image