SEARCH

Program pertanian bandar berpotensi tingkatkan bekalan makanan organik

02 Feb 2020 / 10:27 H.

GEORGE TOWN: Program pertanian bandar atau lebih dikenali sebagai urban farming mempunyai potensi besar dalam meningkatkan bekalan makanan organik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Zin berkata pengusahaan pertanian bandar di Malaysia masib belum cukup dan memerlukan kerjasama daripada komuniti setempat untuk mengusahakan tanah terbiar menjadi kebun sayuran, buah-buahan atau akuaponik.

“Saya harap lebih ramai masyarakat amalkan konsep ini. Kalau banyak hasil (tanaman), mereka boleh buka pasaran. Sekarang ini, rakyat Malaysia lebih bersedia beli barangan organik dan selamat walaupun 10 hingga 15 peratus lebih mahal.

“Kita memerlukan konsep baharu seperti teknologi pertanian menegak (vertical farming) yang mampu menghasilkan lebih banyak sayuran menggunakan teknologi baharu. Pertanian bandar yang moden kena ada nilai komersial,“ katanya kepada pemberita ketika menghadiri lawatan kerja di Tapak Pertanian Bandar Jawatankuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bharu, Air Itam di sini.

Tambahnya, harga makanan organik dalam pasaran Malaysia masih berada dalam lingkungan yang agak tinggi dan tidak mampu dinikmati oleh golongan rakyat yang berpendapatan rendah. Namun jika usaha ini berterusan, beliau berkata terdapat kemungkinan yang tinggi untuk masyarakat mendapatkan bahan mentah organik dengan lebih murah dan mudah.

Dalam pada itu Sim menasihatkan komuniti yang ingin mengusahakan program seumpama itu untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum memulakan projek di atas tanah kerajaan dan orang ramai disaran menghubungi Pejabat Pertanian Daerah masing-masing untuk mendapatkan nasihat dan bantuan yang diperlukan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan dana tahunan RM3 juta untuk menyokong program tersebut dan menggalakkan aktiviti sihat seperti berkebun dalam kalangan masyarakat di bandar.

Beliau berkata sejak tahun 2014 sehingga 2018 terdapat 4,330 projek pertanian bandar di seluruh Malaysia namun terdapat peningkatan sebanyak 585 projek pada tahun 2019. Bilangan peserta keseluruhan program adalah 13,700 orang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Dr Afif Bahardin berkata pihaknya kini sedang berusaha membangunkan program pertanian bandar secara bertingkat di Seberang Jaya.

Katanya, projek itu dibangunkan di sebuah tanah berukuran 200 kaki persegi dengan sayur-sayuran ditanam setinggi sembilan tingkat dan mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) setiap kali dituai.

“Saya yakin sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai dengan adanya kesedaran yang lebih tinggi dalam masyarakat tentang manfaat urban farm. Konsep urban farming memang sesuai dengan Pulau Pinang kerana tanah yang terhad,“ katanya. — Bernama

Untitled Document

email blast