JOHOR BAHRU: Kerja-kerja projek laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka menyebabkan sedikit kesesakan di pusat bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata keadaan itu terjadi susulan pihak kontraktor sudah mula menjalankan kerja-kerja pembinaan termasuk pengalihan utiliti dan pemasangan cerucuk.

“Johor Bahru akan sedikit berkecah selepas ini apabila RTS mula berjalan secara agresif kerana kontraktor dan subkontraktor dilantik telah menjalankan kerja-kerja secara serentak.

“Ini bermakna kawasan di Stulang Laut, pusat beli-belah R&F Mall JB hingga ke kawasan RTS di Bukit Chagar akan rancak dengan kerja-kerja pembangunan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Justeru, Mohd Noorazam berharap rakyat di bandar raya ini dapat bersabar dengan keadaan kesesakan itu memandangkan projek nasional tersebut akan memberi manfaat bukan sahaja kepada bangsa Johor, malah kepada negara.

“Projek ini dijangka siap 2024 bagi fasa infrastruktur dan akan siap sepenuhnya pada 2026. Keselamatan warga Johor Bahru akan diambil kira kerana projek ini turut melibatkan struktur binaan setinggi 25 meter.

“Berkemungkinan laluan kenderaan akan dialihkan, namun ia belum dimuktamadkan,” katanya.

Laluan RTS adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar, di sini dan Woodlands di Singapura. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image