SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyemak semula dengan Kementerian Kewangan (MOF), sama ada peruntukan RM4.7 bilion untuk projek tebatan banjir daripada kerajaan pusat sebelum ini termasuk dalam projek yang akan diteliti semula.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau akan membuat semakan segera kepada kementerian berkenaan, susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadiri sesi taklimat sejurus memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan di MOF di sini hari ini.

“Saya kena semak semula kerana ada beberapa projek itu yang mendesak (untuk dilaksanakan). Adakah (RM7 bilion yang diteliti semula itu) termasuk dengan peruntukan RM4.7 bilion yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan Selangor.

“Sebab pada Januari tahun hadapan, sudah mula (diserahkan) surat setuju terima,“ katanya ringkas kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu, Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketika mengumumkan perkara itu pada perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor 19 Ogos lepas, Ismail Sabri berkata antara projek penting yang akan dilaksanakan ialah lima projek tebatan banjir dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion. - Bernama