PENAMPANG: Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai lima pilihan sekiranya perbincangan mereka dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai kerjasama politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akan datang tidak berjalan seperti diharapkan.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini termasuk dalam konteks pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan parti politik itu, bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya berkenaan.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bagaimanapun, tidak menyatakan lima pilihan terbabit, kerana menyifatkan ia sebagai strategi parti.

“Kita ada lima opsyen (pilihan). (Apakah antara lima pilihan itu?) Itu strategi,” katanya ketika ditanya pemberita apakah BN Sabah bersedia bergerak sendiri pada PRU15, sekiranya perbincangan dengan GRS mengenai pembahagian kerusi tidak berjalan lancar.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutupan Konvensyen BN Sabah yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Kurup.

Bung Moktar berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan GRS sedang berjalan, namun sehingga kini masih belum membuahkan sebarang hasil.

Terdahulu, Bung Moktar dalam ucapannya berkata BN Sabah akan merangka strategi, manifesto dan aku janji baharu menjelang PRU15 yang bersesuaian dengan kehendak rakyat, selain turut merangkumi tawaran baharu dalam memperkasa pembangunan ekonomi sekali gus mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan.

“Kita akan merubah ekonomi Sabah kerana Sabah ini adalah sebuah negeri berpotensi. BN Sabah akan menentukan hala tuju sebelum PRU akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai konvensyen, Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata pemimpin dan ahli parti perlu menjadikan ia sebagai platform dalam menzahirkan solidariti yang akan diterjemahkan kepada satu kekuatan untuk memastikan kemenangan besar dalam PRU15.

Kira-kira 5,000 pemimpin dan ahli daripada empat parti komponen BN Sabah merangkumi Umno, MCA, MIC dan PBRS menyertai konvensyen tersebut bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’. - Bernama