IPOH: Parti Warisan (Warisan) dijangka bertanding di lima kawasan di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata pengerusi negerinya Datuk Seri S.Sunther.

Beliau berkata bagaimanapun, kawasan yang akan ditandingi sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum diputuskan dan tertakluk kepada perbincangan akhir bersama peringkat negeri dan pusat dalam masa terdekat.

“Penting untuk kita buat analisis kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi. Kita tidak mahu apa yang terjadi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berulang. Kita perlu ada pelan strategik dan buat pemilihan atau keputusan yang betul,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Jun lepas, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menerima borang keahlian parti di sini memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan.

Mohd Shafie berkata Warisan tidak akan bertanding di semua kerusi yang ada dan perlu selektif untuk kerusi yang diyakini boleh dimenangi selain kepimpinan negeri perlu giat memperkuat parti yang setakat ini lima bahagian telah digerakkan sejak tahun lepas iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Parit serta Padang Rengas.

Dalam perkembangan lain, Sunther menafikan dakwaan kononnya terdapat kira-kira 600 ahli daripada lapan bahagian di negeri ini mengisytiharkan keluar parti berkenaan hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

“Kebanyakan mereka bukan ahli, hanya segelintir. Kita pernah bertemu beberapa orang yang dipercayai ketua kumpulan tersebut yang membantu parti mencari ahli baharu tetapi kita tidak pernah memberi jawatan, atau melantik mereka (sebagai ketua cawangan atau bahagian),” katanya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Penyelaras Warisan di Semenanjung Dr Rajiv Bhanot berkata Warisan perlu mengambil pendekatan realistik jika parti itu mengambil keputusan bertanding pada PRU15 di Semenanjung.

“Kami mahu bertanding di kerusi strategik yang kami rasa parti mempunyai peluang besar untuk menang. PRU15 juga merupakan detik permulaan parti Warisan di Semenanjung Malaysia,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image