KUALA LUMPUR: Parti Warisan memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr berkata pihaknya telah pun memaklumkan keputusan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagaimanapun, logo Parti Warisan masih akan tersenarai dalam kertas undi oleh kerana sudah didaftarkan sebagai salah satu parti yang bertanding di Parlimen Padang Serai pada 5 Nov lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis berikutan kematian calon PH, M. Karupaiya, 69, pada 16 Nov lepas.

Terdahulu, proses penamaan calon yang selesai 10 pagi tadi menyaksikan enam calon akan bersaing di Padang Serai, melibatkan Datuk Azman Nasrudin daripada PN, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk C. Sivaraajh (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas). - Bernama