KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menolak dakwaan bahawa parti itu akan bertanding di semua kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, kata Ketua Penerangannya Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.

Beliau berkata Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) ada menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung pada sesi dalam talian bersama wartawan kanan negara baru-baru ini.

“Bagaimanapun, beliau (Mohd Shafie) tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi, perkara ini (kawasan dan kerusi ditandingi) masih dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat pusat,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Okt lepas dalam sesi itu, Mohd Shafie juga dilapor berkata rancangan Warisan mengembangkan sayapnya ke Semenanjung berjalan lancar dan parti itu akan menumpukan kepada pendekatan pelbagai kaum dalam usahanya berkembang merentas Laut China Selatan.

Awang Ahmad Sah mendakwa perkara tersebut telah menarik perhatian ramai, khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik sehingga ada yang sanggup menabur fitnah di media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU15.

“Pada masa ini semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image