SEARCH

Rahsia ‘pintu pejabat’ terbongkar

22 Nov 2020 / 12:53 H.

SERDANG: Taktik berselindung di sebalik ‘pintu pejabat’ sebuah pusat snuker di Seri Kembangan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian terbongkar dalam serbuan Op Noda Khas ke atas premis itu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dalam serbuan bermula pukul 9 malam, seramai sembilan individu warga tempatan berumur 27 hingga 51 tahun ditahan termasuk penjaga premis berkenaan.

“Seramai lapan orang termasuk tiga wanita yang rata-rata merupakan pelanggan tetap di situ didapati sedang leka bermain judi dalam talian, di dalam bilik yang tertulis pintu pejabat dan kononnya hanya kakitangan dibenarkan masuk.

“Siasatan mendapati hanya pelanggan tetap dan penjaga premis mengetahui cara membuka pintu itu. Kamera litar tertutup (CCTV) yang banyak dipasang di premis itu telah mendatangkan keraguan ketika risikan dilakukan sebelum ini sebelum bilik rahsia ini ditemukan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya telah memecah pintu masuk ke premis terbabit kerana penjaga premis enggan membuka pintu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis judi itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lepas dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker dan hanya beroperasi selama tiga jam dari pukul 6 petang hingga 9 malam.

“Kita turut merampas 13 komputer riba, tetikus dan wang tunai berjumlah RM443,” katanya.

Razali berkata kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — Bernama

email blast