SEARCH

Raikan Aidilfitri dalam keadaan baharu, patuhi peraturan - Taib

22 May 2020 / 15:13 H.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menggesa rakyat negeri ini untuk menyesuaikan diri dengan meraikan Aidilfitri dalam keadaan baharu susulan pandemik COVID-19 yang masih menghantui Sarawak dan Malaysia bahkan dunia.

Beliau berkata pada tahun ini rakyat terpaksa menyambut hari kemenangan umat Islam itu dalam keadaan yang amat berbeza berikutan penyakit Covid-19 mempunyai keupayaan untuk merebak dengan amat pantas tanpa disedari.

“Justeru, rakyat harus akur dengan nasihat untuk terus duduk di rumah dan sekiranya perlu keluar, hendaklah mematuhi arahan dan langkah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya percaya cara kita meraikan Hari Raya Aidilfitri memerlukan kita memperelokkan cara kita bersuka ria bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang mencapai banyak kemajuan dan kemakmuran,” katanya dalam perutusan Aidifitri yang dikeluarkan hari ini.

Abdul Taib berkata semua rakyat negeri ini harus merasa bangga dengan kebolehan Sarawak mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada kebolehan menjaga perpaduan dan hubungan yang begitu baik antara kumpulan etnik, kepercayaan agama dan latar belakang.

“Kita dapat saksikan bagaimana Sarawak telah berubah daripada negeri yang paling mundur pada tahun 60-an dan 70-an namun telah menjadi negeri yang paling progresif kini, dengan pembangunan ekonomi di Sarawak bukan sahaja makin aktif dan moden dalam negara bahkan di rantau Asia,” katanya.

Abdul Taib juga berkata pada suatu ketika ekonomi Sarawak mempunyai per kapita RM4,000 sahaja dan pada masa ini telah melonjak kepada lebih RM40,000 iaitu meningkat lebih 10 kali ganda.

“Saya percaya sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan kita selama ini akan terus kekal kepada kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan suatu hakikat untuk menyambung perjuangan bagi mencapai status negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya. – Bernama

Untitled Document

email blast