PARIT: Polis akan menghantar rakaman audio didakwa perbualan pembantu seorang Exco kerajaan negeri Perak yang dikatakan cuba menyelesaikan kes dengan pegawai penyiasat, kepada pihak forensik bagi mengenal pasti suara pihak terlibat.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata ia bagi menyiasat dengan lebih lanjut, selain mengenal pasti pemilik suara berkenaan.

“Rakaman suara telah dihantar kepada forensik untuk dianalisa, sama ada ia suara pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dua siasatan dilakukan kerana (rakaman suara) tidak menyatakan daripada mana,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Perak Tengah di sini hari ini.

Katanya polis telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan, bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang diterima.

Pada 15 Ogos lepas, sebuah portal berita tempatan melaporkan Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri, menafikan mengenai dakwaan audio itu kononnya perbualan pembantunya, yang cuba menyelesaikan kes dengan pihak polis dan SPRM.

Pada 13 Julai lepas, bekas pegawai exco itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa Exco berkenaan, membocorkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan komisen projek.

Kes itu melibatkan dua kertas siasatan dengan yang pertama adalah berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa Exco tersebut membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

Satu lagi kertas siasatan adalah berhubung laporan polis ke atas Beh, yang dibuat oleh Abdul Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image