SEARCH

Rakyat Perlis turut manfaatkan platform e-dagang susulan Covid-19

22 May 2020 / 15:30 H.

KANGAR: Penularan pandemik Covid-19 yang membawa norma baharu dalam kehidupan masyarakat turut mengubah tabiat berbelanja rakyat Perlis apabila mereka mula memanfaatkan sepenuhnya platform e-dagang.

Menerusi platform itu, penularan virus itu mungkin dapat dikurangkan apabila kebanyakan urus niaga hanya dilakukan di hujung jari dan seterusnya menunggu barangan yang pesan tiba di rumah masing-masing.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis, Wan Mohd Yasser Mohd Abdoh berkata, walaupun pola peralihan itu bergerak secara perlahan, lama-kelamaan ia akan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Baginya, penduduk Perlis sudah mula mengadaptasi trend ke arah ekonomi digital, seiring dengan usahawan di negeri itu yang mula serasi dengan platform e-dagang.

“Jika dilihat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini, perusahaan seperti restoran telah mula menggunakan teknik pemasaran dalam Internet misalnya Facebook dan Instagram yang dilihat semakin rancak digunakan sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama.

Menyifatkan kaedah itu berjalan lancar, Wan Mohd Yasser memberi pandangan agar prosedur operasi standard (SOP) syarikat perlu diubah sedikit untuk disesuaikan dengan e-dagang.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan negeri membuat perbincangan dengan wakil persatuan peniaga untuk mendapatkan maklumat mengenai apakah yang diperlukan.

Mengulas selanjutnya, Wan Mohd Yasser berkata agak sukar bagi ekonomi sesebuah negara boleh berkembang dengan mengambil kira keadaan semasa, namun e-dagang mampu mengubah corak ekonomi sesebuah negara dalam jangka masa panjang.

Katanya pergerakan ke arah pemulihan ekonomi negara berlangsung perlahan, tetapi jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia agak maju ke hadapan berikutan langkah pakej rangsangan kerajaan yang memberi impak bukan hanya kepada syarikat besar, malah turut membantu perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata bagi memastikan peralihan ini dapat dilakukan sepenuhnya, kerajaan perlu memperluaskan infrastruktur sedia ada seperti capaian jalur lebar.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata melihat situasi pada masa kini, e-dagang dilihat mampu merangsang semula pendapatan, menjana pendapatan dan memperbaiki kehidupan rakyat yang terkesan akibat virus itu.

“Kerajaan negeri mempunyai jawatankuasa khusus yang dipertanggungjawab mengetuai dan merancang strategi pelaksanaan bagi membolehkan kita bergerak ke arah ekonomi digital,” katanya. – Bernama

Untitled Document

email blast