PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan rekod tertinggi baharu kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 hari ini, dengan 2,555 kes sembuh direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh Covid-19 sepenuhnya adalah sebanyak 49,056 kes atau 80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dengan catatan 2,348 kes sembuh.

Dr Noor Hisham berkata kes baharu harian Covid-19 yang dicatatkan pada hari ini adalah sebanyak 935 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 60,752 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, empat merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 931 kes ialah penularan dalam negara. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 11,348 kes,“ katanya.

Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 kes (34.9 peratus), diikuti Selangor dengan 161 kes atau 17.2 peratus dan Negeri Sembilan yang merekodkan 158 kes atau 16.9 peratus. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image