KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) berjaya mengumpul dana berjumlah RM65,000 dalam program Majlis Makan Malam Amal Hari Guru Peringkat Selangor 2022 bagi melaksanakan Sambutan Hari Guru Negeri 2022 yang akan berlangsung di IDCC, Shah Alam pada 24 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induknya Kamal Azizi Abdul Aziz berkata dana yang diterima adalah hasil sumbangan daripada individu sektor kerajaan dan swasta dalam bentuk pembelian meja pada majlis berkenaan.

“Sumbangan yang diperoleh adalah daripada hasil penjualan meja makan kepada individu sektor awam dan swasta...terdapat empat kategori jualan meja iaitu platinium berharga RM3,000 manakala gold (RM2,500), silver (RM2,000) dan bronze (RM1,500),” katanya ketika berucap di sini semalam.

Beliau berkata majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang dalam kalangan guru dan pihak penaja merupakan satu langkah proaktif bagi menghargai jasa insan bergelar guru yang memberi impak dalam masyarakat.

Pada majlis sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon turut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh JPN Selangor dalam mengadakan majlis tersebut bagi membalas jasa warga pendidik yang banyak berjasa kepada anak bangsa dan negara.

“Usaha murni dalam majlis makan malam ini merupakan langkah terbaik bukan sahaja mengumpul dana malah dapat ruang semua pihak untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan pendidik dalam sambutan hari guru peringkat negeri Selangor.

“Seterusnya majlis seperti ini akan memberi impak positif kepada jabatan pendidikan di seluruh negeri,” katanya yang turut berharap agar majlis seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN Selangor Rohayati Abd Hamed berkata pihaknya akan memastikan slogan ‘Selangor Maju’ akan dinikmati dalam sektor pendidikan di negeri itu sekali gus berusaha memantapkan lagi aspek akademik dan keperibadian murid.

“Sesuai dengan inisiatif program ‘Sekolahku Sejahtera’ dan tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ saya yakin, Selangor akan menjadi negeri termaju di Malaysia,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image