ALOR SETAR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang menjadikan Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam Walmasakin di sini sebagai perintis program pendidikan literasi digital untuk anak yatim sebelum ia diperluas kepada rumah anak yatim lain di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata program sedemikian adalah sebagai usaha memastikan golongan itu celik digital.

Beliau berkata perancangan pengisian program itu akan melibatkan kerjasama Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dengan Rakan Digital PEDi akan hadir ke rumah anak yatim itu untuk mengadakan kelas bimbingan digital kepada anak yatim berkenaan.

“Saya akan minta (bantuan daripada pihak PEDi) yang terdekat, saya difahamkan dari PEDi Seberang Terus ... saya nak minta datang tengok survey sikit, tengok apa boleh kita buat dan apa program bersesuaian (dengan persekitaran anak yatim),“ katanya kepada pemberita selepas singgah sahur bersama anak yatim di rumah anak yatim itu hari ini.

Pada program singgah sahur itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 42 anak yatim di situ selain sumbangan kipas dan televisyen kepada pihak pengurusan rumah anak yatim berkenaan.

Fahmi berkata pendekatan itu sebagai satu daripada usaha untuk memastikan anak yatim berkenaan bersedia untuk menghadapi keadaan ekonomi digital yang banyak peluang dan cabaran setelah mereka dewasa kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan cuba membantu pihak pengurusan rumah anak yatim berkenaan mendapatkan bantuan tambahan untuk pengoperasian mereka seperti dimohon pengurusan rumah anak yatim itu.

“Saya juga menerima permohonan mungkin bantuan tambahan, daripada pihak pengurusan. Insya-Allah, saya akan teliti, kita akan usaha, beberapa pihak mungkin dapat bersama untuk membantu.

“Jika kita lihat keadaan sekarang, memang banyak organisasi ataupun institusi yang memerlukan sokongan daripada badan korporat, tokoh korporat, saya rasa masa yang sesuailah untuk kita reach out tokoh ini untuk sama-sama membantu,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image